KETERANGAN TENTANG AKTIVITI KEBUDAYAAN YANG MENJALINKAN PERPADUAN KAUM


 Aktiviti kebudayaan boleh menjalinkan perpaduan kaum dengan penglibatan aktif semua golongan dalam aktiviti seni dan kebudayaan untuk menyumbang ke arah membangun individu secara total, mempererat perpaduan negara serta mempertingkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Aspek perpaduan kaum bukan suatu isu yang remeh temeh. Usaha yang berterusan untuk membangun nilai budaya yang positif dan mewujudkan satu Bangsa Malaysia adalah penting untuk mengekalkan perpaduan negara dan keharmonian dalam mencapai matlamat pembangunan terutamanya dalam suasana kepelbagaian etnik di Malaysia.


Sehubungan ini, beberapa kempen budi bahasa dan integriti ke arah memperkukuh nilai sosial dan sikap akan diberi penekanan. Kempen dan program lain yang berkaitan akan memberi tumpuan kepada perlunya rakyat Malaysia mengamalkan sikap bertolak ansur, hormat-menghormati dan nilai positif lain yang perlu untuk mengekalkan perpaduan negara, keharmonian sosial dan kemuafakatan. Bagi memupuk penghayatan yang lebih baik kepada bidang seni dan kebudayaan ini, Program Merakyatkan Seni dan Budaya yang bertujuan untuk mendekatkan kembali seni kepada masyarakat serta menjadikan seni sebahagian daripada kehidupan seharian. Aktiviti ini merangkumi persembahan seperti tarian tradisional dan moden, drama dan muzik serta aktiviti berkaitan seni dan kraf dan akan melibatkan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar. Program ini dapat mendidik dan menghebahkan kepentingan dan penghayatan nilai budaya, seni dan warisan di kalangan masyarakat untuk diberikan penekanan agar selari dengan hasrat penyatuan kaum di Negara ini tercapai. Kesemua ini amat penting kepada masyarakat bagi menjamin hubungan kaum terus terpelihara dan negara berada dalam keadaan aman dan sejahtera.


Perpaduan antara rakyat Malaysia merupakan satu keistimewaan yang memainkan peranan penting demi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Banyak negara di dunia mencontohi Malaysia sebagai negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya kerana keharmonian dan kemakmuran antara kaum serta budaya menjadi pegangan kepada pandangan positif rakyat antarabangsa terhadap Malaysia. Aktiviti kebudayaan yang didedahkan kepada rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah boleh memupuk semangat perpaduan kaum seiring dengan mengukuhkan semangat jati diri, di samping memberi keutamaan kepada mata pelajaran Sejarah dan menjadikan sistem pendidikan sebagai medium utama untuk mengkekalkan perpaduan kaum. Melalui penghayatan perpaduan serta sejarah negara, diharap akan lahirnya warganegara yang matang dan bertanggungjawab.


 Aktiviti kebudayaan dapat menjadi pemangkin sifat keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Contohnya, masyarakat kita gemar beriadah khususnya apabila waktu kelapangan. Bagi masyarakat yang tinggal di kampung, masa senggang mereka diisi dengan aktiviti-aktiviti riadah seperti tarian, silat, muzik, dan sebagainya. Mereka mempelajari tarian bukan sahaja untuk tujuan keriangan sebaliknya mengisi masa lapang selain menjalin hubungan sesama mereka. Keadaan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti mereka sekaligus melahirkan masyarakat majmuk yang harmoni.






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGHARGAAN